Friday 21 August 2020

Rutin Mengemas Homestay

Hujung minggu atau cuti sekolah macam sekarang ini biasanya akan ada tetamu yang berkunjung ke kebanyakan homestay. Kalau ada kenduri kendara di sekitar Nibong Tebal, Parit Buntar dan Bandar Baharu, maka lagi banyak permintaan terhadap homestay kerana ramai ahli keluarga yang perlukan servis rumah tetamu. 

Bagi kami yang mengurus homestay secara kecil-kecilan, maka tugas membersih dilakukan oleh pemilik homestay sendiri. Sambil membersih dan mengemas sepenuh hati demi keselesaan tetamu, dapat juga peluhkan badan demi kesihatan diri. Maka jadilah kami sebagai "Labu & Labi" 😁

Biasanya tugas dibahagi kepada 2 bahagian utama. Si Labu akan mengemas katil, menukar cadar dan menghias ruang dalaman homestay. Manakala Si Labi bertugas menyapu sampah dan mengemop lantai.. Fuhh berpeluh habis bila selesai tugas Si Labi ini.



Itulah rutin biasa setiap kali tetamu masuk. Jika ada masa lapang, Si Labu dan Si Labi akan buat tugasan tambahan seperti deko dalaman dan juga membasuh lantai di parkir. Kebiasaannya tugas ini dibuat pada malam hari atau hujung minggu.

Mudah-mudahan Allah memurahkan rezeki kami sekeluarga dan memberi kesihatan buat kami. Juga doa yang sama buat semua yang membaca sehingga habis.. Amiin ❤️

Sunday 26 July 2020

Char Kuey Teow Omaq, Parit Buntar

Jam Besar Parit Buntar merupakan mercu tanda bandar utara Perak ini yang hanya 5 minit berjalan kaki ke Nibong Tebal, Pulau Pinang, ataupun Bandar Baharu, Kedah. Jika berkunjung ke sini, jangan lupa singgah sebentar di Restoran Char Kuey Teow OMAQ, memang padu ckt di sini.

Alhamdulillah, petang yang cerah di hujung minggu. Masih diberi kesempatan menghirup udara segar dalam tempoh PKPP sambil pekena ckt dan teh o ais 😎

#jjcmparitbuntar
#homestaynibongtebal
#homestayparitbuntar 
#homestaybandarbaharu 

Monday 3 February 2020

Ringkas tapi begitu bermakna

Dalam menguruskan homestay secara separuh masa ini, banyak yang kami pelajari sejak 2015. Pengalaman yang diperoleh amat penting bagi Homestay Inap Lestari dalam memberi servis yang terbaik buat semua pengunjung, insyaAllah. Kebiasaan pengunjung yang menginap di homestay kami ini bertujuan menghadiri majlis kenduri kendara di sekitar Nibong Tebal, Parit Buntar dan Bandar Baharu. 

Dalam tempoh 5 tahun ini juga, pelbagai ragam pengunjung yang telah ditemui. Namun, secara umumnya pengunjung dapat mengikut peraturan yang ditetapkan seperti menjaga kebersihan, merokok di luar rumah dan membuang sampah di tempat yang disediakan. Ada juga tetamu yang sudi mengemas kembali rumah seperti keadaan pada mula mereka masuk, Alhamdulillah.

Di zaman media sosial ini, kami juga berbesar hati sekiranya tetamu dapat memberi review akan servis kami. Review ini amat penting bagi imej dan promosi homestay selain memberi kepuasan buat pengusaha homestay yang bersungguh dalam menyediakan servis yang selesa buat pengunjung. Namun, jika ada review yang kurang enak diberi pengunjung, kami sedia mengambilnya sebagai langkah penambahbaikan di masa hadapan.

Ada juga pengunjung daripada kalangan golongan senior yang datang bersama anak cucu. Kadang-kadang mereka ini turut memberi komen melalui tulisan tangan yang ditinggalkan. Mesej mereka ringkas, namun cukup buat menghilangkan lelah kami mengemas rumah. 

Alhamdulillah, terima kasih buat semua pengunjung Homestay Inap Lestari yang memilih kami apabila berkunjung ke segitiga Pulau Pinang - Perak - Kedah. 

Sunday 29 December 2019

MRSM Transkrian, Nibong Tebal, Pulau Pinang

Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Transkrian yang terletak di Nibong Tebal, Pulau Pinang, akan menerima kedatangan pelajar baharu dan kepulangan para pelajar lama di awal tahun baharu ini. Cuaca yang cerah sekarang ini menjadikan suasana sekitar MRSM begitu tenang dan damai di waktu pagi, Alhamdulillah. Semoga anak-anak di sini dapat belajar dengan baik dan menjadi pelajar cemerlang di dunia dan akhirat ❤️

Jika ada para ibu bapa yang memerlukan tempat menginap semasa menghantar anakanda ke MRSM Transkrian, Homestay Inap Lestari sedia memberikan servis terbaik buat ayahanda ibunda sekeluarga. Lokasi kami hanya sekitar 5 minit ke MRSM. Hubungi Puan Hana di 0197778170 untuk maklumat lanjut. 



Thursday 1 August 2019

Kejohanan Memanah MSSM 2019

Kejohanan Memanah Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) sedang berlangsung di Kampus Kejuruteraan USM bermula dari 1 hingga 8 Ogos 2019.

Jom saksikan kehebatan anak muda kita yang datang dari seluruh negara 👍🏼







Sunday 31 March 2019

Hanya 5 minit

Homestay Inap Lestari amat hampir (kurang 5 minit dengan berkereta) kepada 4 tempat pengajian berikut:
1 - Institut Latihan Perindustrian (ILP) Nibong Tebal
2 - Kolej Vokasional Nibong Tebal
3- Kampus Kejuruteraan USM
4 - MRSM Transkrian

Homestay kami juga hampir dengan Kolej Perda-Tech dan SMKA Syeikh Abdullah Fahim dengan lebih kurang 10 minit berkereta.

Selamat kembali ke sekolah masing-masing setelah seminggu bercuti 😎

4 tempat pengajian berasrama yang hanya kurang 5 minit dari Homestay Inap Lestari. 

Sunday 11 November 2018

Kerian Uptown mula beroperasi !

Bermula 10 November 2018, Kerian Uptown telah mula beroperasi di Pusat Bandar Parit Buntar pada setiap hari Sabtu dan Ahad. Waktu operasinya bermula sekitar 8pm sehingga 12 tengah malam.  Lokasinya ialah di Jalan Perwira, Parit Buntar, berhadapan dengan Tabung Haji Parit Buntar. Kenderaan pengunjung boleh diparkir di sepanjang jalan berkenaan atau di sekitar Pasar Awam Parit Buntar.
 
Pelbagai produk dan servis ditawarkan buat pengunjung Kerian Uptown. Jadi, buat penduduk di sekitar Sungai Kerian dari Parit Buntar, Nibong Tebal dan Bandar Baharu, sama-samalah kita menyokong para peniaga di Kerian Uptown.

p.s.: buat pengunjung Homestay Inap Lestari, sekiranya anda menginap di homestay kami di hujung minggu, anda boleh turut sama memeriahkan Kerian Uptown yang hanya lebih kurang 10 minit perjalanan dengan kereta. 

Kerian Uptown beroperasi setiap Sabtu & Ahad, 8 hingga 12 malam, di Pusat Bandar Parit Buntar.

Friday 9 November 2018

Promosi MAPS Perak

Baru-baru ini semasa Karnival Sinar Harapan 2018 di Parit Buntar, Perak, pihak Movie Animation Park Studios (MAPS) telah menawarkan promosi tiket MAPS dengan  hanya RM45 untuk setiap kemasukan. Kami sekeluarga tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan tiket promosi ini untuk 5 ahli keluarga berusia 4 tahun ke atas. Manakala kanak-kanak 3 tahun ke bawah tidak dikenakan yuran masuk. 

Dengan jarak sekitar 115km dari Homestay Inap Lestari, perjalanan ke MAPS dijangkakan sekitar 1jam 20minit. Tidak terlalu jauh dan boleh bergerak terus dari rumah untuk ke sana tanpa menginap di Ipoh. Pastinya anak-anak tidak sabar lagi untuk ke sana sempena musim cuti sekolah nanti :)

Harga promosi MAPS dengan hanya RM45 bagi setiap kemasukan.

5 pass masuk untuk kami sekeluarga.

Friday 20 April 2018

Katil Bayi Kesayangan

Zaman anak-anak membesar memang merupakan suatu saat yang indah buat ibu bapa. Setiap keperluan anak akan cuba dipenuhi terutamanya demi si bayi comel. Contohnya, katil bayi akan cuba disediakan oleh mak ayah agar anak-anak mendapat keselesaan ketika tidur dan juga selamat untuk bermain dalam kawasan katil.

Cumanya, bila semua anak-anak sudah membesar dan bersekolah, katil-katil comel itu akan terbiar tanpa kehadiran si comel kecil. Mulalah ibu ayah terfikir untuk melelong katil berkenaan di Mudah.my ataupun mengiklankannya di Facebook. Kami pun mulanya terfikir begitu untuk melapangkan sedikit ruang di rumah kecil kami.

Namun, sejak akhir-akhir ini ramai pula pengunjung yang mempunyai bayi kecil menginap di Inap Lestari. Jadi, kami memutuskan untuk meletakkan katil bayi kami di homestay agar ia dapat memberi manfaat dan keselesaan buat pengunjung yang mempunyai anak kecil. Selain itu, katil bayi kesayangan kami ini akan tetap bersama kami bersama memori indah momen-momen pembesaran anak-anak :)

Kami menyediakan katil bayi dan kanak-kanak untuk keselesaan pengunjung yang mempunyai anak kecil.

Monday 26 March 2018

Simbiosis kehidupan: Khidmat DOBI

Pada setiap kejadian makhluk, pasti ada kekurangannya. Begitu juga dengan Homestay Inap Lestari yang tidak mempunyai mesin basuh untuk digunakan oleh tetamu kami. Ini kerana kekangan ruang dan juga keperluan membasuh yang jarang-jarang diperlukan oleh pengunjung yang tinggal satu atau dua hari.

Namun, sekiranya ada bakal pengunjung yang memerlukan khidmat dobi, terdapat 2 buah kedai dobi di Taman Ilmu Indah, Nibong Tebal, yang sangat hampir dengan Homestay Inap Lestari. Sebuah kedai berkonsep layan diri dan dibuka 24 jam manakala sebuah lagi menawarkan perkhidmatan pencucian sehingga siap sepenuhnya. Anda boleh memilih mengikut kesesuaian diri/keluarga.

Begitulah kehidupan kita ini yang perlu saling melengkapi antara satu sama lain umpama proses simbiosis dalam alam semesta.

Kedai DOBI yang jaraknya kurang 100m dari Homestay Inap Lestari, Taman Ilmu Indah, Nibong Tebal, Pulau Pinang.